Berita  | Drebar

Volvo sudah gila kuasa (kuda)

Masa begitu cepat berubah. Sepuluh tahun dahulu penggunaan sebuah pengecas turbo tidaklah begitu luar biasa, namun tidak juga suatu kelaziman. Lima tahun kemudian, turbo berkembar pula menjadi fesyen terkini. Dan tiga tahun selepas itu, penggunaan super charger dan turbo charger secara serentak pula menjadi standard baharu. Sekarang, nampaknya Volvo membuat satu kejutan dengan enjin konsep mereka yang dipasang dengan 3 peringkat ‘boost’ pada unit 2.0 liter yang menghasilkan lebih daripada 450hp!

Enjin ini adalah berdasarkan teknologi Drive-E mereka yang baharu sahaja dikeluarkan tahun 2013. Perkembangan ini dihasilkan dengan sepasang pengecas turbo yang dipasang secara selari, di mana ia sendiri mendapat bekalan udaranya daripada sebuah pemampat turbo berkuasa elektrik. Dalam erti kata lain, ia bagaikan konfigurasi skroll berkembar (ataupun penggunaan dua turbo), bezanya cuma sebuah turbo menyalurkan udara mampat yang bercas kepada dua turbin turbo yang lain.
Yang memberikan sistem ini prestasi yang begitu tinggi juga datang daripada sumbangan pam bahan api berkembar dengan tekanan 250 bar. Dengan jumlah ketumpatan udara yang terhasil, proses boost tiga kali ini serta sistem bahan api  unik, tindak balas turbo yang pantas dapat diberikan.

Enjin konsep ini dibangunkan dengan kerjasama pembekal-pembekal dan rakan Volvo yang relevan seperti AVL, Denso dan Volvo Polestar Racing sejak dari peringkat awal lagi. Ini untuk memastikan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi daripada litar perlumbaan dapat diterapkan ke dalam proses pembangunan.

Dan nampaknya penambahbaikkan teknologi enjin Drive-E ini tidak akan berhenti di sini. Mengikut kata Dr. Peter Mertens, naib presiden kanan R&D Volvo berkata”Enjin konsep berprestasi tinggi Drive-E 450hp ini menunjukkan kemampuan sistem dorongan Drive-E.”

Beliau menambah bahawa enjin yang kecil dapat mengurangkan berat dan ruang yang diambil. “Ruang ini pula dapat digunakan untuk sistem elektrik yang seterusnya dapat mengurangkan lagi faktor pencemaran”, kata Dr Mertens lagi.
 
Nota: Enjin 4-silinder - di dalam pengeluaran - dengan output yang paling tinggi setakat ini menghasilkan 360hp. Ia dipasang pada Mercedes A 45 AMG yang dijual Mercedes-Benz Malaysia pada harga hampir RM350,000.