Tutup

Berita  | Drebar

Varian baharu 308 THP Active dilancarkan – RM119,888


Peugeot 308 THP yang mula dijual Nasim Sdn. Bhd. sejak April 2015 sekarang ditemani satu lagi varian tambahan iaitu 308 THP Active.  Dengan harga jualan RM119,888, ia memberi lebih ramai peluang untuk memiliki hatchback bergaya ini selepas varian 308 THP yang berharga RM136,888.

Enjin yang digunakan kedua-dua varian adalah serupa – empat silinder, 1.6L dengan turbo tekanan tinggi (THP) yang menghasilkan 150hp dan 240Nm. Kotak gear adalah automatik enam-kelajuan yang bersambung ke roda hadapan.

Pecutan 0-100km/j dilakukan di dalam masa 9.4 saat. Peugeot mendakwa bahawa kadar penggunaan petrol adalah serendah 6.5 liter/100km.
Dari segi keselamatan, 308 THP Active ini dilengkapi enam beg udara, Hill-Start Assist dan kawalan cengkaman, masing-masing membantu di dalam mendapatkan 5-bintang daripada Euro NCAP hasil ujian perlanggaran.

Antara fungsi 308 THP yang tidak ada pada 308 THP Active ini adalah Emergency Collision Braking, Dynamic Cruise Control, bumbung kaca panoramik dan aloi 18 inci (Varian Active menggunakan aloi bersaiz 17 inci).

50 pembeli pertama Peugeot 308 THP Active akan mendapat diskaun sebanyak RM2,000.
[Pembeli Peugeot 408 pula boleh mendapat penjimatan sehingga RM32,888 untuk meraikan perayaan Tahun Baharu Cina]

Setiap pembelian kereta Peugeot disertai jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, kemudahan menggunakan Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang, dan Perkhidmatan Peugeot Assistance 24-jam daripada Nasim Sdn. Bhd.