Tutup

Berita  | Drebar

Ujian tren LRV bagi Fasa 2 Ampang LEP sudah bermula


Sesiapa yang kerap melalui jalan yang berdekatan laluan LRT baharu Ampang (ataupun Ampang LEP, Line Extension Project) pasti akan melihat beberapa set gerabak yang bergerak di atasnya ataupun terhenti di luar stesen. Sebenarnya, tren-tren LRV (Light Rail Vehicles) baharu ini sedang menjalani ujian sebelum pelancaran rasminya pada akhir bulan Mac nanti. Fasa 2 ini LEP ini terdiri daripada tujuh stesen daripada Kinrara BK5 sehingga Bandar Puteri.

Fasa 1 telah dilancarkan Oktober 2015 lalu merangkumi empat stesen iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5.
“Ujian ini mungkin berjalan 24 jam sehari, termasuk pada awal pagi. Bagaimanapun kami akan mengambil langkah secukupnya agar penduduk disekeliling tidak berasa kurang selesa,” kata Dato’ Ir Zohari Sulaiman, CEO Prasana PRAISE (Projek Rel dan Infrastruktur). Beliau, mewakili Prasarana, turut meminta maaf atas segala kesulitan yang mungkin terjadi.

Ujian untuk LRV ini adalah untuk memastikan tren baharu yang dibeli daripada CSR Zhuhou Electric Locomative Company (ZELC) tersebut bersedia untuk operasi sebenar. Sembilan daripada tren enam-gerabak yang dinamakan ‘Amy’  sudah selesai peringkat ujian termsuk tujuh yang sudah digunakan bagi Fasa 1.

Mengikut ujian yang dirancang, setiap tren perlu mencapai perjalanan sehingga 1,500km tanpa apa-apa kegagalan besar seperti untuk isyarat, pacuan, brek dan operasi pintu. Jika ada berlaku kegagalan besar, ujian LRV tersebut akan di set semula kepada 0 km. Ujian ini juga akan diteliti oleh SPAD sebagai badan kawal selia hal-hal berkaitan pengangkutan awam.

Daripada 50 tren enam-gerabak yang baharu dibeli, 20 diperuntukkan untuk Ampang LEP. Baki 30 unit pula adalah untuk menggantikan tren enam-gerabak yang sedia ada, dan digunakan semenjak 1998.
Dan daripada 50 unit tren yang dibeli, 35 akan dihantar ke Malaysia secara CBU manakala 15  pula dipasang di tapak CSR ZELC yang terletak di Batu Gajah, Perak. 24 unit yang diimport tersebut sudah diterima setakat ini.


Tag: LRT,