Tutup

Berita  | Drebar

Subaru XV 2016 dilancarkan. Dari RM132,724


Pagi tadi model ditambah-baik Subaru XV telah dilancarkan oleh pengedar sahnya, Motor Image Malaysia. ‘Facelift’ baharu ini membawa beberapa pembaharuan yang unik bagi model paling laris jenama ini di Malaysia.

Antaranya adalah penambahan rekaan semula bagi lampu hadapan, lampu belakang baharu, garis kontur merentas bampar hadapan hingga lampu belakang dan juga lampu DRL yang tersorok di dalam kemasan krom berbentuk L di tepi lampu kabut (khas untuk varian 2.0i-Premium).

Aloi juga dikatakan mempunyai rekaan baharu, dan mengikut seorang kenalan penulis yang bekerja di Motor Image, selain daripada kelihatan baharu ia juga menghasilkan bunyi yang kurang berbanding rekaan sebelum ini apabila kereta meluncur laju di jalan raya.
Dalam pada itu, kabin juga lebih senyap dengan tambahan penebat bunyi pada tiang A dan B, ruang arca tayar belakang dan bumbung. Turut dikemaskini untuk menyumbang kepada kabin lebih senyap adalah cara cermin hadapan dan belakang dilekapkan pada kereta.

Subaru mendakwa XV baharu ini lebih lincah dengan perubahan yang diberikan kepada casis, namun tidak memperincikan langkah yang dilakukan.

Di dalam kabin pula terdapat panel instrumen dengan skrin informasi lebih bergaya. Jahitan untuk kerusi, stereng serta tombol gear balutan kulit juga lebih kemas dengan warna kontra oren.

Antara pemasangan standard di dalam XV 2.0i adalah lampu halogen, rel bumbung, ‘paddle shift’, penyaman udara automatik dan sistem bebas tangan Bluetooth.
Varian 2.0i-Premium pula ditambah dengan DRL jenis LED, skrin sentuh pelbagai fungsi, sistem audio dipertingkatkan, kamera undur, butang tekan-hidup dan kerusi pemandu boleh-laras secara automatik. Varian premium ini juga mempunyai satu keunikan tambahan – terdapat lampu isyarat di dalam cermin sisi (seperti dilihat di bawah).

Kedua-dua varian XV ‘facelift’ ini masih mengekalkan enjin 2.0-liter ‘Boxer’ – tanpa turbo – seperti sebelum ini yang menghasilkan 148hp dan 196Nm. Pacuan disalurkan ke semua roda melalui kotak gear CVT.

Dari segi ciri-ciri keselamatan, semua XV dilengkapi beg udara hadapan, beg udara lutut, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Isofix, palang pengukuh di dalam pintu dan ‘Immobiliser’ enjin.