Tutup

Berita  | Drebar

Segak bergaya: Citroen C4 Picasso dilancarkan. RM148,888


Naza Euro Motor membuka lembaran 2016 mereka dengan pelancaran Citroen C4 Picasso, sebuah MPV dengan kapasiti lima penumpang dan dijual pada harga RM148,888. Model ini secara tepatnya tidak ubah seperti Grand C4 Picasso berkapasiti tujuh penumpang yang sudahpun diperkenalkan sebelum ini, tetapi dengan saiz lebih kompak.

C4 Picasso ini menggunakan platform EMP2 yang membenarkan ‘wheelbase’ lebih panjang, sekaligus memberi ruang tambahan di dalam kabin. Papan pemuka adalah digital sepenuhnya yang merangkumi sepasang skrin panoramik resolusi tinggi bersaiz 7-inci dan 12-inci.

Di luar, Citroen ini memang cukup bergaya tidak kira dilihat dari sudut mana. Gril hadapan dengan rekabentuk ‘Chevron’ tersebut diapit sepasang lampu utama nipis dan DRL LED. Lampu belakang juga mengetengahkan cahaya LED bersama kesan 3D.

Peralatan keselamatan termasuk kawalan stabiliti elektronik (ESC) bersama kawalan cengkaman (traction control), enam beg udara serta Isofix untuk pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak lebih mudah.
Citroen C4 Picasso ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.6-liter dengan turbo skrol berkembar yang menghasilkan 163hp dan 240Nm. Ini kemudian diarahkan kepada roda hadapan melalui kotak gear automatik enam kelajuan. MPV ini memecut daripada rehat ke 100km/j dalam masa 9.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210km/j. Kadar penggunaan petrol dikatakan 17.3km/liter ataupun 5.8 liter setiap 100km.