Tutup

Berita  | Drebar

Sah! Rio Haryanto sekarang pemandu F1 Manor Racing bagi 2016


Seperti yang telah kami andaikan seawal bulan Disember tahun lepas, Manor Racing minggu lepas telah mengesahkan bahawa pelumba daripada Indonesia Rio Haryanto sekarang menjadi pemandu bagi pasukan lumba F1 tersebut.

Berita ini adalah satu perkara besar memandangkan Rio menjadi pelumba pertama daripada Indonesia yang berjaya mendapat tempat di dalam dunia F1 yang mencabar. Anak muda berumur 23 tahun ini pada tahun lepas berlumba di dalam siri GP2 – dengan pencapaian agak membanggakan dengan beberapa kedudukan podium.
Beliau juga sebelum ini pernah berpeluang memandu jentera F1, tetapi hanya sebagai pemandu uji untuk pasukan Manor pada tahun lepas.

Bagi musim 2015 yang baharu tamat, Manor F1 diwakili oleh Will Stevens dan Roberto Merhi (dan bagi beberapa perlumbaan, Alexander Rossi menggantikan Roberto). Bagi musim 2016, pasukan Manor akan beroperasi dengan semangat baharu. Rio akan memandu bersama Pascal Wehrlein, seorang warga Jerman yang mempunyai reputasi tinggi sebagai juara DTM 2015.
Kejayaan Rio Haryanto mendapat tempat sebagai pemandu tetap di Manor bagi musim 2016 tidak datang dengan mudah. Mengikut apa yang kami dengar, terdapat kemungkinan wang pembiayaan yang dijamin oleh pihak pemerintah negara tersebut yang bernilai setinggi €15 juta tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

Namun, nampaknya isu tersebut sudah selesai dan Rio hanya perlu menunggu sehingga sesi ujian rasmi pra-musim pertama bermula pada 22 Februari di litar Catalunya, Sepanyol untuk mula memandu jentera MRT05 dengan enjin Mercedes itu.

Tahniah, Rio!
 
Imej: Laman Facebook Rio Haryanto