Tutup

Berita  | Drebar

Prototaip Honda Civic hatchback akan muncul tidak lama lagi


Pameran kereta Geneva akan diadakan antara 3-13 Mac akan datang, dan Honda sudahpun mengesahkan yang model Civic Hatchback prototaip akan membuat kemunculan global di sana.

Model yang dijangka akan dilancarkan pada awal 2017 nanti ini akan dipasang di kilang Honda, UK (HUM) dan turut dieksport ke Amerika Syarikat sepertimana varian Type R juga. Bahkan, kilang di Swindon ini dipercayai akan menjadi sumber Civic hatchback untuk setiap pasaran.
Berdasarkan gambar awal yang dikeluarkan Honda – yang hanya terhad kepada pandangan ke belakang kereta tersebut – ia mempunyai beberapa persamaan dengan rekaan Honda Civic sedan generasi terbaharu yang setakat ini belum lagi tiba di Eropah.

Walaupun tiada maklumat lanjut mengenai model baharu tersebut, kami tidak akan terkejut jika enjin 1.5-turbo ‘EarthDreams’ baharu akan menjadi salah satu pilihan pacuan yang disediakan. Enjin tersebut dilancarkan tahun lepas dan sekarang dipasang pada Civic (sedan) pasaran Amerika Syarikat. Ia menjana 174hp bersama tork sekitar 219Nm.
Selain Civic hatchback, apa lagi di Geneva?
Ada dua kenderaan yang kita semua dah ketahui, tetapi akan membuat kemunculan pertama di benua Eropah, iaitu Honda Clarity (yang dikuasakan sistem sel bahan api) dan kereta sukan NSX baharu.

Untuk motosikal, Honda akan menampilkan model CRF1000L Africa Twin baharu.

Satu kenderaan yang pasti menerima lebih perhatian adalah konsep Jazz ‘Keenlight’, sebuah rekaan konsep baharu bagi model Jazz. Ia bertujuan menyerlahkan potensi Jazz untuk ‘customising’ ataupun rekaan tersendiri.