Berita  | Drebar

Proton umumkan pembangunan enjin generasi baharu


Proton, bagi penulis, ada dua isu besar – perkhidmatan pasca-jualan, dan powertrain (enjin dan transmisi). Salah satu daripada isu ini agar rumit nak diselesaikan, maklumlah bukan semua manusia mudah hendak dididik; tetapi kalau dalam soal enjin, Proton sudah mengambil langkah besar seperti yang telah mereka umumkan siang tadi.

Jika segalanya mengikut perancangan, kita akan dapat melihat generasi enjin yang terbaharu menjelang akhir 2017, apabila proses pembangunannya siap untuk dipasang pada model-model berkaitan.

Dato’ Abdul Harith, CEO Proton menerangkan bahawa terdapat enam variasi enjin yang sedang disempurnakan:
1.0-liter, 3-silinder
1.2-liter, 3-silinder
1.3-liter, GDi, 4-silinder
1.5-liter, GDi, 4-silinder
1.3-liter TGDi, 4-silinder
1.5-liter TGDi, 4-silinder
 
Terdapat dua perkembangan penting bagi keluarga enjin baharu ini; iaitu penggunaan enjin 3-silinder, dan pengunaan teknologi ‘direct injection’ sepertimana yang dimaksudkan oleh GDi (G untuk menunjukkan ia adalah enjin gasolin/petrol).

TGDi pula adalah beserta tambahan pengalak turbo.
Antara objektif penting program enjin baharu ini adalah potensi untuk menjadikan model Proton lebih relevan pada skala global. Enjin-enjin baharu ini memberikan output lebih tinggi, dan bagi pasaran-pasaran negara maju, juga lebih cekap dan bersih.

Enjin-enjin ini dibangunkan dengan kerjasama syarikat Ricardo yang sudah lama terkenal sebagai rakan teknikal pelbagai syarikat automotif di dunia, tidak kira untuk enjin, transmisi atau perkakasan elektronik. Upacara ‘first crank’ enjin dalam pembangunan ini telah dilakukan di kilang Ricardo, United Kingdom, dan disaksikan secara langsung oleh Tun Mahathir melalui sidang video.

Antara perkara-perkara yang kita sudah tahu mengenai program enjin ini adalah:
Program pembangunan akan mengambil masa 40 bulan.
Daripada ini, 10 bulan untuk peringkat prototaip awal dan analisis di Ricardo, kemudian dihantar ke Lotus, UK. Selepas itu peringkat akhir ujian dan pembangunan akan dilakukan di Shah Alam (dijangka lewat 2016).
Program dijangka akan lengkap pada akhir 2017 sebelum ia siap untuk dipasang pada model-model Proton.
Jumlah ujian yang dijalankan akan bersamaan dengan perjalanan sejauh 4.8 juta km.
Untuk optimakan kemudahan pembuatan sedia ada, blok enjin masih lagi diperbuat daripada besi tuang (cast iron). Tetapi blok aluminium yang lebih ringan ada dalam pertimbangan. Namun, kepala silinder enjin diperbuat daripada aluminium.
Potensi enjin 1.5-liter TGDi dijangka mencapai 180hp dengan tork sebanyak 250Nm.
Potensi enjin 1.0-liter untuk kecekapan pengunaan bahan api dijangka lebih baik daripada 5.0-liter/100km.
Secara keseluruhan, enjin-enjin baharu akan membawa penjimatan bahan api sehingga 25% berbanding enjin VVT sekarang. Enjin Iriz (VVT) pun memberi penjimatan sama sebanyak 15% berbanding enjin sebelumnya.
Enjin ini boleh digunakan untuk Perdana baharu. Tetapi jangan lupa tentang enjin yang dibeli daripada Petronas iaitu EO1, yang sekarang dinamakan NE01. Ia berkapasiti 2.0-liter dan juga sedang dalam pembangunan, sebagai satu program berasingan. Juga dijangka siap pada akhir 2017.
Teknologi ‘direct injection’ pada keluarga enjin baharu ini juga diambil daripada enjin NE01.
Enjin 1.0-liter dengan ‘direct injection’ ada dalam perancangan, tetapi untuk masa hadapan kerana itu akan mengambil lebih banyak kos.
Perbelanjaan modal (atau capex) untuk program ini adalah sekitar RM600 juta.
Enjin Campro mungkin masih relevan, tetapi hanya di pasaran negara-negara yang masih menerima penggunaan enjin – bersama emisi ekzos – sepertinya.

Tag: Proton, GDi, turbo