Tutup

Berita  | Drebar

Proton mulakan eksport ke Chile. Model pertama: Preve


Proton kini memasuki semula pasaran Chile selepas penjualan kereta terakhirnya di situ iaitu Proton Wira pada tahun 1998. Sebanyak 50 unit Proton Prevé dengan pemanduan di sebelah kiri (Left Hand Drive, LHD) akan tiba di San Antonio, Chile sebagai penghantaran kumpulan kereta Proton pertama daripada sejumlah 1,000 unit kereta yang akan dijual di negara itu pada tahun ini.

Pihak Proton kembali ke pasaran Chile selepas termeterainya Perjanjian Bebas Perdagangan (Free Trade Agreement, FTA) Malaysia-Chile yang ditandatangani pada 25 Februari 2012. Melalui FTA tersebut Proton mendapat pengecualian duti import sebanyak 6%.
Selain daripada Prevé, Exora dan Saga juga merupakan antara model-model yang akan dipasarkan di sekitar bandar-bandar utama negara tersebut.

“Kami berasa amat teruja untuk memasuki pasaran Chile kerana sebelum ini syarikat (Proton) telah berjaya menjual hampir 3,000 unit kereta dari tahun 1994 sehinggalah tahun 1998,” jelas Dato’ Harith, CEO Proton.

Pelancaran bagi penjualan Prevé dan Exora di Chile merupakan sasaran utama syarikat bagi Mei 2016 diikuti dengan penjualan Saga pada November 2016. Selain itu, model-model yang turut akan memasuki pasaran Chile adalah Prevé 1.6 Standard MT, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT. Manakala, bagi model Exora pula adalah 1.6 Standard CVT dan Exora 1.6 Premium CVT. Pada November 2016, Saga FLX 1.6 Standard MT dan Saga FLX 1.6 Premium MT akan mula memasuki pasaran pertamanya di Chile.