Berita  | Drebar

Proton berikan maklumat awal Perdana 2016


Siang tadi pihak media telah diberi kesempatan oleh Proton untuk melihat sendiri model Perdana generasi terkini yang sudah lama ditunggu semua. Walaupun begitu apa yang dilihat bukanlah produk muktamad; masih ada beberapa perincian yang masih belum ditetapkan. Namun boleh dikatakan ia sudah 80% hampir siap untuk pengeluaran, mengikut kata seorang eksekutif syarikat.

Dari segi spesifikasi, beberapa perkara asas telah disahkan berdasarkan sebuah slaid yang ditunjukkan kepada kami (seperti di bawah).

Semua maklum bahawa Perdana baharu ini menggunakan platform Honda Accord generasi ke-8, oleh itu tidak hairan untuk diberitahu ada dua varian bagi kereta segmen D ini: 2.0-liter dan 2.4-liter, serupa dengan pilihan untuk pembeli Accord waktu ia dijual tidak lama dahulu.

Namun, slaid yang kami lihat hanya membincangkan ciri-ciri pada varian 2.4-liter khususnya. Enjin 2,345cc tersebut menghasilkan 181hp dan tork sebanyak 222Nm. ‘Paddle shifter’ dan ‘cruise control’ adalah standard.
Terdapat juga kerusi pemandu yang boleh dilaras menggunakan motor elektrik, sistem infohiburan adalah lengkap dengan kamera undur, sistem hawa dingin zon berkembar, dan juga sistem navigasi GPS.

Mengikut dokumen tersebut juga stereng boleh dilaras secara ‘tilt’ (atas/bawah) dan juga teleskopik (depan/belakang) selain penggunaan tingkap kuasa dengan fungsi anti-trap. Tambahan lagi, ciri-ciri keselamatan termasuk sistem ESC, ABS bersama EBD, dan beg udara. Pada pendapat kami sendiri, semua perkara-perkara ini lebih baik jika standard pada varian 2.0-liter juga memandangkan ia adalah penting untuk mendapat kelebihan (atau sekurang-kurangnya duduk semeja) dengan pesaing segmen D lain.

Kami tidak menyedari perkara ini ketika penjelasan sebentar tadi, tetapi melihat kepada gambar yang merujuk kepada sistem beg udara, ia kelihatan seperti terdapat juga beg udara sisi yang selalunya tersorok di dalam kerusi hadapan.

Bagaimana pula bahagian dalaman kereta tersebut? Bagi kami memang banyak keunikan yang ada pada Perdana baharu ini, termasuk papan pemukanya, tetapi bagi yang sudah biasa dengan Accord gen-8 pasti akan menyedari beberapa persamaan.

Terdapat dua skrin, satu untuk sistem audio dan satu lagi yang lebih besar untuk kawalan fungsi kereta dan maklumat sistem navigasi GPS. Sekali lagi kami ingatkan yang kereta yang diperlihatkan pada media adalah varian 2.4-liter, oleh itu ia mendapat kerusi yang lebih mewah dibalut kulit berwarna terang (off-white) dan bahagian luar yang diperhalusi dengan kemasan krom pada, contohnya, pembuka pintu dan bampar bawah.

Seiring dengan sesi istimewa tadi pengerusi Proton, Tun Mahathir turut menyatakan bahawa tempahan untuk Proton Perdana generasi kedua ini sudah dibuka. Harga belum diberitahu, tetapi Tun berkata ia adalah antara RM100,000 sehingga RM150,000. Andaian harga tersebut tidak mengejutkan memandangkan Perdana duduk di dalam segmen D, jadi sudah pasti agak sukar untuk berada di paras sekitar RM90,000. Dan RM150,000 pula agak tinggi bagi sebuah model Proton yang perlu bertarung dengan banyak pesaing yang sudah selesa dan mempunyai reputasi tersendiri.

Kos untuk pembangunan Proton Perdana 2016 adalah sekitar RM200 juta, sedikit rendah bagi menghasilkan sebuah model serba baharu. Tetapi ini adalah kelebihan utama yang dinikmati kerana menggunakan platform yang sudah mantap hasil perkongsian daripada Honda.

Bilakah Perdana baharu ini akan dilancarkan? Kami diberitahu ‘suku pertama 2016’, tetapi itu bermakna ia di dalam lingkungan enam minggu ini dan sebelum Mac berakhir. Satu jangka masa yang singkat.

Kita tunggu sahaja…

Tag: Proton, Perdana,