Berita  | Drebar

Pelan ‘recall’ VW ditolak pihak berkuasa California


Krisis ‘dieselgate’ yang ditempuhi Volkswagen (VW) memang satu isu yang rumit, lebih-lebih lagi di Amerika Syarikat. Terkini, pihak CARB (California Air Resources Board) telah dengan rasmi menolak cadangan yang dikemukan VW bagi pelan panggil semula atau ‘recall’ semua kenderaan di jual syarikat tersebut di California yang menggunakan enjin diesel 2-liter.

[NOTA: Setakat ini isu ‘dieselgate’ tidak melibatkan mana-mana model yang dijual Volkswagen Malaysia kerana semua model yang dijual mempunyai enjin petrol dan bukannya diesel]


Dalam satu kenyataan tegas oleh pengerusi CARB, Mary B. Nichols, “Volkswagen telah membuat keputusan untuk menipu di dalam ujian emisi ekzos dan kemudian cuba untuk menutup kesalahan mereka. Mereka menambah lagi kepada kesalahan itu dan apabila ianya disedari semua, cuba untuk menidakkannya.”

“Tindakan hari ini adalah langkah yang betul untuk memastikan ianya tidak berulang.”

Pengumumuan ini keluar pada waktu yang paling tidak sesuai untuk CEO Kumpulan Volkswagen, Matthias Muller. Sehari sebelum keputusan CARB ini dikeluarkan, beliau didalam temuramah bersama stesen radio NPR – dan sehari selepas memberikan ucapan di pameran kereta Detroit – dengan yakin berkata bahawa VW ‘tidak menipu’ berkenaan isu dieselgate.
CARB menyenaraikan tiga sebab kenapa mereka menolak cadangan ‘recall’ VW, iaitu:
  1. Rancangan VW kurang terperinci
  2. Baik pulih yang digambarkan tidak mempunyai maklumat cukup bagi penilaian teknikal
  3. Cadangan yang diberikan tidak menyelesaikan kesan keseluruhan terhadap keselamatan, emisi dan prestasi kenderaan dengan memuaskan
Dengan ini, walaupun langkah ‘recall’ belum boleh dimulakan pihak VW, ia membuka skop yang lebih luas bagi penyelesaian yang boleh diambil. CARB, sebuah badan negeri, dan EPA yang mewakili kerajaan persekutuan akan terus berurusan dengan VW bagi menilai pilihan yang ada, termasuk pelan ‘recall’ yang memenuhi keperluan CARB.

Penolakan cadangan baik pulih VW ini hanya melibatkan model-model yang menggunakan enjin diesel 2-liter iaitu VW Jetta Sportwagen (tahun 2009-2014), Beetle (tahun 2013-2015), Beetle Convertible (2013-2015), Golf (2010-2015), Jetta (2009-2015), Passat (2012-2015), Golf Sportwagen (2015); dan model Audi A3 (2010-2013, 2015).

Data pihak CARB menunjukkan jumlah kereta yang terlibat adalah 75,688 unit.

Model-model kenderaan daripada kumpulan VW yang menggunakan enjin diesel 3.0-liter tidak termasuk di dalam keputusan ini. Walaupun enjin ini turut terlibat dalam isu ‘dieselgate’, ia diuruskan oleh pelan tindakan berbeza.

[NOTA: Situasi ini hanya untuk model-model VW yang dijual/didaftarkan/digunakan di negeri California sahaja]