Berita  | Drebar

NICE 2017 landasan Unimap kembang impian motor retro mampu milik

KUALA LUMPUR: Dunia motosikal negara mampu dikomersialkan lebih-lebih lagi dalam bentuk retro yang semakin menjadi kegilaan masyarakat.

Pengarah Bahagian Automotif dan Sukan Permotoran di bawah Unit Penyelidikan Sukan Permotoran Unimap (Motech) Prof Madya Dr Shahriman Abu Bakar berkata, hasrat itu dapat direalisasikan seandainya produk dapat dijual dalam lingkungan harga mampu milik.

"Oleh itu, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bercadang merekacipta motor berkonsep retro yang mampu milik tetapi robust dan mempunyai design yang menarik.

"Unimap menerusi Motech bersama Modenas kini bekerjasama membangunkan teknologi automotif.
"Hasrat Motech adalah untuk menjadi salah satu pusat penyelidikan dan tekno keusahawanan yang tersohor dalam bidang teknologi sukan permotoran dan automotif hiliran bersama Modenas  demi menjayakan Dasar Automotif Negara," katanya ketika ditemui semasa Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) 2017.

Ekspo yang julung kali diadakan itu menjadi jenama yang mengete­ngahkan pelbagai hasil dan usaha untuk menggalakkan pembangunan dan kemajuan sains, teknologi dan inovasi negara.

Dalam pada itu kata Dr Shahriman, Modenas banyak memberi bantuan dan nasihat serta tunjuk ajar teknikal kepada Unimap dalam membangunkan teknologi permotoran.

"Begitu juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Unit Kejuruteraan Automotif terutama Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Mohd Dalib.

"Unimap mempunyai keyakinan bahawa model ini boleh berjaya berdasarkan permintaan dari pasaran dan kepakaran bersama serta  nasihat dari Modenas dan Unimap sendiri.

"Adalah diharapkan dari projek ini, dapat membangunkan pengetahuan kritikal kepada Unimap untuk menyokong kejayaan pembagunan teknologi automotif negara," jelasnya.

Tambahnya, pelajar-pelajar juga diharap dapat manfaat dari membangunkan teknologi yang diperlukan oleh industri dan masyarakat (real world problem).

"Ia sekali gus mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi dalam bidang teknologi dan keusahawanan," katanya.

Tag: JPJ, Unimap, Motech