Berita  |  Drebar

Naza Kia sasar jual 500 unit semua modelnya sebulan pada 2017

KUALA LUMPUR: Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Kia Motor di Malaysia, menyasarkan untuk menjual 500 unit sebulan bagi kesemua model keretanya pada 2017, kata Ketua Peniaga Operasi Jualan Ziad Fazaruddin.

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi tiga lagi model yang akan diancarkan tidak lama lagi.

"Kami menjangkakan angka jualan yang baik. Saya jangkakan purata kira-kira 500 unit sekurang-kurangnya sebulan. Kami yakin dapat angka yang baik, lebih baik berbanding tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) baharu Naza Kia di Jalan Pahang di sini hari ini.
Ziad berkata Naza Kia yang memperkenal model baharu, Grand Carnival MPV, dengan spesifikasi pengenalan, telah terlebih jualan walaupun pelancarannya akan dibuat pada April.

"Kami membawa masuk kumpulan pertama dalam jumlah terhad, dengan hanya 50 unit, namun tempahan sudah meningkat sekali ganda dan lebih banyak tempahan akan diterima.

Beliau berkata pusat 3S baharu itu merupakan antara lima pusat servis yang akan dilancarkan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada proses menaik taraf kesemua pusat 3Snya.

"Kini kami mempunyai 33 pusat servis. Tumpuan ialah untuk membuka lebih banyak pusat 3S, terutama di Sabah dan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung. Kami juga sedang menaik taraf peniaga bukan 3s.

Pusat MPV Car Services baharu seluas 16,200 kaki persegi itu mampu mempamerkan empat kereta, empat ruang servis dengan keupayaan memberi kemudahan servis sehingga 14 kereta sehari.

Dengan kos RM1.5 juta, pusat ini dilengkapi kemudahan menarik seperti ruang istirahat, kemudahan WiFi untuk pemilik Kia di sekitar Jalan Pahang, Jalan Genting Kelang, Setapak, dan Titiwangsa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif Naza Corp Datuk Samson Anand George dan Pengarah Urusan MPV Car Service Sdn Bhd Tan Hee Heng. -- Bernama