Berita  | Drebar

Mitsubishi Triton Phantom, terhad kepada 200 unit


Bagi peminat trak yang sedikit bosan dengan model-model biasa, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan Triton Phantom baharu. Dengan jualan yang terhad kepada 200 unit, varian ini adalah Triton VGT Adventure yang menerima beberapa tambah baik untuk memberi rupa yang lebih garang dan lasak.
Triton Phantom inilah yang dilihat di dalam video viral yang dibuat dengan kerjasama MMM.

Yang paling jelas adalah semua Triton Phantom berwarna hitam, begitu juga dengan semua aksesori yang dipasang. Antaranya adalah aloi 17 inci (warna hitam di sini adalah matte, ataupun tidak berkilat), grill hadapan, dan penutup penuh bahagian kargo belakang.

Lampu hadapan adalah jenis HID Xenon dan beserta DRL. Di dalam, semua kerusi dibalut dengan kulit (juga berwarna hitam).

Bagi ciri-ciri standard, ia termasuk butang tekan-mula, stereng teleskopik, sistem audio dengan skrin sentuh, kamera undur dan lampu automatik. Prestasi juga masih sama dengan output 176hp dan 400Nm daripada enjin 2.5-liter turbo geometri boleh ubah (VGT). Kotak gear adalah automatik 5-kelajuan yang terikat dengan sistem ‘Easy Select 4WD’ untuk pilihan pacuan semua roda atau roda hadapan.

Mitsubishi Triton Phantom ini dijual dengan harga RM115,680.76 (atas jalan, tanpa insurans). Ia datang dengan dua tahun penyelenggaraan percuma serta rebat tunai RM2,000 atau kos tenaga kerja percuma dan rebat tunai RM4,000. Waranti pula adalah untuk tiga tahun atau 100,000km.