Tutup

Berita  | Drebar

Mercedes AMG Petronas raikan peminat di ‘Petronas Winning Formula’


Reputasi pasukan F1 Mercedes AMG Petronas semakin menebal sejak musim 2013, apatah lagi pada tahun berikutnya apabila berjaya memenangi kejuaraan pasukan. Ini disambung lagi pada tahun 2015 dengan begitu dominan, membuktikan kemampuan pasukan ini menerusi 12 keputusan podium 1-2 antara Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

16 daripada 19 perlumbaan musim tersebut juga dimenangi Mercedes AMG Petronas.

Sudah pasti kejayaan pasukan ini dicapai melalui penglibatan ahli pasukan yang mantap – terdiri daripada staf teknikal dan bukan teknikal – serta pemandu; dan jentera lumba yang bukan sahaja pantas tetapi juga dengan ketahanan tinggi.
Memandangkan musim 2016 Formula 1 sudah mula menunjukkan diri dengan bermulanya ujian pertama bagi tayar Pirelli, kita kenang kembali lawatan beberapa orang penting di dalam Mercedes AMG Petronas ke acara Petronas Winning Formula. Ia telah diadakan sejurus selepas tamatnya perlumbaan terakhir musim 2015 di litar Abu Dhabi.

Wakil daripada pasukan Mercedes AMG Petronas yang datang pun bukan calang-calang – Lewis Hamilton, juara dunia F1 tiga kali, dan Toto Wolff, Ketua Mercedes-Benz Motorsports.

Antara kegiatan yang dilakukan mereka adalah menghadiahkan piala yang dimenangi di Abu Dhabi oleh pasukan kepada naib presiden eksekutif dan CEO perniagaan hiliran bagi Petronas, Md Ariff Mahmood.
Bagi pengunjung lain, mereka dapat melihat sendiri tentang beberapa aspek penglibatan Petronas di dalam kejuaraan lumba kereta ini. Antara lain adalah sebuah bilik yang menyerupai makmal litar Petronas seperti yang ada di setiap litar di mana perlumbaan dijalankan. Di sini, para jurutera Petronas memastikan setiap keperluan enjin, terutamanya bagi bahan api dan minyak pelincir, menepati keperluan tinggi yang diperlukan.

Mereka dapat juga merasai pengalaman sebagai kru pasukan yang bertanggungjawab menukar tayar kereta F1 ketika perlumbaan berlangsung.

Acara Petronas Winning Formula ini telah menarik lebih daripada 3,000 orang sepanjang empat hari ia berlangsung.

Sekarang, kita tunggu pula musim baharu Formula 1 bermula bagi musim 2016. Dan moga pasukan Mercedes AMG Petronas terus kekal cemerlang!