Tutup

Berita  | Drebar

Lima institusi pengajian tinggi menerima enjin daripada BMW


Lima universiti dan kolej kejuruteraan di Malaysia bertuah kerana dipilih oleh BMW Group Malaysia untuk masing-masing menerima sebuah enjin 4-silinder BMW TwinPower turbo 2.0-liter baru-baru ini. Enjin ini akan digunakan untuk tujuan penyelidikan serta pembangunan, di samping meningkatkan kepakaran kejuruteraan di dalam institusi terbabit.

Mengikut Alan Harris, pengarah urusan dan CEO BMW Group Malaysia, “Kerjasama dengan universiti dan kolej kejuruteraan ini memberi peluang kepada kami untuk berkongsi dan meningkatkan lagi kepakaran dan turut menggerakkan daya inovasi industri automotif di dalam negara ini secara tidak langsung. Ia adalah cara kami menambah nilai kepada industri dan itu adalah antara prinsip asas BMW Group.”

Penerima enjin-enjin moden ini adalah Universiti Malaysia Pahang, Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur, Universiti Taylor’s, The Otomotif College dan ICAM ataupun International College of Automotive (dinaiktaraf kepada Universiti Disember lalu dengan nama baharu DRB-HICOM University of Automotive Malaysia).
Sumbangan ini adalah lanjutan kepada usaha berterusan BMW Malaysia bersama institusi akademik tempatan untuk melatih sumber tenaga berkemahiran tinggi.

“Awal tahun lepas, kami mulakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor di dalam bidang pengurusan logistik dan rangkaian bekalan. Inisiatif ini dilakukan kerana Pusat Pengedaran Serantau Kumpulan terletak di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. Dengan projek ini kami boleh berkongsi pengetahuan dan kemahiran,” kata Alan Harris lagi.