Berita  | Drebar

Lexus Malaysia kemas-kini model GS; sekarang dengan enam varian


Lexus Malaysia hari ini mengumumkan bahawa model GS generasi keempat sekarang mempunyai enam varian menerusi kemas-kini yang diberikan. Varian-varian ini adalah GS 300h Hybrid, GS 350 F Sport, dan GS 350 Luxury. Selain itu terdapat juga GS 200t F Sport, GS 200t Luxury, dan GS 200t Premium.

Di sini kita dapat perhatikan bahawa langkah kemas-kini GS ini disertai penggunaan enjin turbo dengan kapasiti 2.0-liter baharu Lexus bagi varian ‘200t’. Enjin 8AR-FTS ini mempunyai pengecas turbo dwi-skrol dan intercooler yang menjana sehingga 241hp pada 5,800rpm dan tork sebanyak 350Nm antara 1,650rpm sehingga 4,400rpm. Prestasi ini adalah penambahan 17%  kuasa kuda dan 38% untuk tork berbanding enjin 2.5-liter yang digunakan GS 250 dahulu.

Antara keunikan enjin 8AR-FTS ini adalah ia boleh menyampaikan petrol terus ke dalam silinder (direct injection), ataupun sebelum injap (port injection). Kualiti dinamik ini membolehkan kereta optimakan penggunaan bahan api mengikut beban enjin.
Pengguna yang mahukan penjimatan tambahan boleh menggunakan ciri ‘Power Saving Control’ yang mengawal injap solenoid selain kuasa yang dihasilkan komponen alternator.

Lexus GS 300h Hybrid pula menggunakan enjin 2.5-liter 2AR-FSE yang dilengkapi sistem pancitan bahan api generasi terkini D-4S yang beroperasi dengan tekanan lebih tinggi. Kotak gear yang digunakan adalah jenis E-CVT yang dihasilkan khusus untuk sistem pacuan hibrid.

Varian GS 350 dan GS 200t pula menggunakan transmisi ‘Sports Direct Shift’ (SPDS) 8-kelajuan, sebelum kuasa ini dibekalkan kepada kedua-dua roda belakang.

Walaupun mempunyai kotak gear sama, enjin mereka tetap berbeza. GS 350 mendapat kuasa daripada enjin 2GR-FKS sepertimana yang digunakan sebelum ini. Unit V6 ini berkapasiti 3.5-liter, yang dipertingkatkan sedikit untuk memberi penjimatan bahan api.

Tag: Lexus, GS, hibrid