Berita  | Drebar

Lamborghini Centenario – hanya 40 akan dihasilkan. ‘Sold out!’


Lamborghini menampilkan sesuatu yang cukup istimewa di pameran kereta Geneva – Lamborghini Centenario, sebuah jentera dengan pembuatan terhad kepada 40 unit, dan kesemuanya sudah pun dijual! Harga bermula daripada 1.75 juta Euro, sebelum cukai!

Kenapa ia begitu mahal? Seperti yang dinyatakan tadi, ianya hanya terhad kepada 40 buah, 20 unit dalam bentuk coupe, selebihnya adalah roadster. Tambahan lagi, tidak akan ada pemilik – atau sesiapun – yang akan melihat kereta ini dan berkata, “Kan elok kalau ada lebih lagi gentian karbon…”

Ini kerana hampir semua komponen (bukan enjin) diperbuat daripada bahan yang kuat+ringan tersebut. Ini jelas dapat dilihat pada badan Centenario tersebut; manakala struktur monocoque atau kerangka utamanya pun diperbuat dari bahan sama. Hasilnya adalah berat kering 1,520kg.

Jangan lupa banyak daripada jumlah ini datang daripada enjin V12 yang terletak di belakang kepala pemandu. Kuasa yang terhasil adalah 770hp, sekaligus menjadi enjin yang paling kuat pernah dihasilkan syarikat Itali ini. Ia juga bermakna yang setiap kuasa kuda yang terhasil hanya perlu membawa 1.97kg, satu nisbah berat:output yang hebat. Had kelajuan enjin juga telah dinaikkan daripada 8,350rpm ke 8,600rpm.

Pecutan 0-100km/j dicapai sepantas 2.8 saat; seterusnya ke 300km/j dalam masa keseluruhan 23.5 saat. Lebih menakjubkan adalah prestasi brek iaitu 100km/j ke 0 dalam jarak 30 meter dan dari 300km/j sehingga berhenti sepenuhnya dalam jarak hanya 290 meter. Kelajuan maksimum Lamborghini Centenario ini pula melampaui 350km/j.

Dari segi saiz, kereta ini mempunyai panjang 4.924 meter dan tinggi 1.143 meter.
Rekaan luarnya banyak dipengarahi keperluan aerodinamik dan untuk mencapai daya tekan (down force) yang terbaik. Ini termasuk beberapa sirip kecil pada bahagian hadapan dan belakang, diffuser belakang, skirt sisi dan juga spoiler belakang yang naik ke atas sebanyak 150mm (juga boleh melaras sudut sehingga 15 darjah) dengan sendiri apabila pada kelajuan tinggi.

Selain itu, skup udara besar pada bonet hadapan kereta ini bertanggungjawab untuk menambah daya tekan ke atas gandar hadapan.

Ada juga spesifikasi yang baharu untuk Lamborghini iaitu ‘rear-wheel steering’. Centenario ini juga mempunyai pacuan semua roda.

Walaupun kereta yang dibawa ke Geneva untuk tontonan semua mempunyai kemasan gentian karbon, pelanggan juga boleh menyatakan pilihan masing-masing berdasarkan program Ad Personam oleh Lamborghini. Ini termasuk mengecat Centenario dengan apa-apa warna yang dikehendaki.