Berita  |  Drebar

Kira-kira 20,000 orang meriahkan 'Port Dickson International Bikefest'

PORT DICKSON: Kira-kira 15,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi, termasuk dari Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand dan Rusia, selain kira-kira 5,000 pengunjung, membanjiri perkarangan Mayang Sari Resort di sini, bersempena festival motosikal 'Port Dickson International Bikefest 2017', anjuran Southern Dragon Motor Club (SDMC).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri Datuk Tun Hairudin Abu Bakar berkata festival seperti ini ternyata memberi impak yang positif kepada sektor pelancongan sekali gus menggalakkan ekonomi masyarakat tempatan.

Beliau berkata festival sedemikian telah dianjurkan sebanyak 15 kali sebelum ini, manakala di bawah anjuran SDMC pula sebanyak empat kali, dan mendapat sambutan menggalakkan setiap kali ia diadakan.

"Dalam festival ini turut diadakan jualan makanan Negeri Sembilan yang saya lihat dalam masa sama dapat kenalkan Negeri Sembilan kepada orang luar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian festival itu pada Sabtu oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mengulas lanjut, Tun Hairudin berkata selain itu, program seperti itu juga dapat menarik para pengunjung untuk singgah ke daerah-daerah lain di Negeri Sembilan untuk bercuti walaupun hanya satu malam.

Mengenai jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan pada tahun lepas, Tun Hairudin berkata berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, jumlah kedatangan pelancong direkodkan sebanyak 6.1 juta, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 5 juta.

"Port Dickson menjadi daerah yang tertinggi merekodkan jumlah kedatangan pelancong iaitu sebanyak 70 peratus," katanya.

Sementara itu, penganjur festival yang juga Presiden Kelab Motosikal Daerah Seremban Azhar Abdul Aziz berkata program kali ini mempamerkan tiga pentas yang mana setiap pentas mempunyai aktiviti tersendiri.

"Pentas utama untuk acara protokol, permainan, konsert, pertunjukan bunga api, pentas mini untuk aktiviti busking yang diketuai Yazid daripada kumpulan Search manakala satu lagi pentas mini diadakan di tepi laut untuk aktiviti seperti BBQ dan bersantai.

"Kita juga adakan pertandingan bina badan iaitu Mr PD Bikefest," katanya.

Festival 'Port Dickson International Bikefest 2017' itu berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat. Turut diadakan pameran motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenis dan jenama.

-- BERNAMA