Tutup

Berita  | Drebar

Kementerian Pengangkutan cadangkan kompaun sementara AES

Mengikut laporan daripada The Sun, Kementerian Pengangkutan telah mencadangkan kepada Kabinet agar semua saman yang telah dikeluarkan setakat ini dapat dikompaun dengan diskaun 50%. Ini memberi pengurangan saman AES sedia ada sebanyak RM150.

Laporan tersebut menyatakan yang tempoh masa bagi pemberian kompaun dicadangkan adalah selama enam bulan.
Isu penguatkuasaan AES setakat ini melibatkan dua juta saman belum berbayar bernilai setengah bilion Ringgit, dan ia perlu diselesaikan sebelum pelaksanaan kamera AES fasa kedua bermula. Mengikut rancangan, ini sepatutnya bermula pada bulan Mac akan datang.

Buat masa ini kes-kes mahkamah yang melibatkan kamera AES telah dihentikan buat sementara atas sebab-sebab teknikal.
Mengikut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi, mereka yang masih tidak membayar saman ini ketika tempoh kompaun yang dicadangkan akan didakwa di mahkamah.

Fasa kedua pemasangan kamera AES ini melibatkan 350 lokasi cadangan dengan penekanan kepada persimpangan yang dilengkapi lampu isyarat trafik. Berdasarkan statistik tahun 2013, sehingga 205 kemalangan telah berlaku di persimpangan berlampu trafik dan tempat melintas pejalan kaki, menyebabkan 76 kematian dan 129 kecederaan.

Dalam pada itu, kajian MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) mendapati yang penggunaan kamera AES di empat lokasi persimpangan yang mempunyai lampu isyarat trafik di Kuala Lumpur dan Perak mampu mengurangkan kesalahan melanggar lampu merah.


Tag: AES,