Berita  | Drebar

Kelemahan nilai ringgit tidak halang Benelli Malaysia lancar model terbaharu

KUALA LUMPUR: Kelemahan nilai mata wang ringgit tidak akan menjejaskan operasi Benelli Keeway Motocycles Sdn Bhd (Benelli Malaysia) untuk mengembangkan perniagaan serta meluaskan pasaran motosikal keluaran syarikat itu di negara ini.

Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan, Komunikasi dan Hubungan Luar Benelli Malaysia, Wan Najib Wan Daud berkata, syarikat itu mensasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya tiga model baharu motosikal melebihi 200cc tahun depan, termasuk T302R.

"Kami (Benelli) sedang cuba untuk mengekalkan harga motosikal syarikat itu pada harga  yang mampu beli selagi yang boleh, di sebalik kelemahan nilai ringgit.

"Namun, jika ringgit terus melemah, syarikat itu mungkin akan mengkaji semua harga motosikalnya,"  katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran motosikal mini, Benelli TnT135 di ibu negara, petang tadi.
Pelancaran motosikal berkenaan dilakukan Pengurus Besar Benelli Malaysia, Low Kin Yong.

Wan Najib berkata, berikutan situasi ekonomi negara yang tidak menentu tahun ini, syarikat itu mengunjurkan peningkatan jualan hanya lima peratus, berbanding jualan empat ribu motosikal tahun lalu.

"Bagaimanapun, dengan beberapa model baharu yang akan diperkenalkan tahun depan, syarikat itu mensasarkan peningkatan jualan antara tujuh dan 10 peratus untuk 2017," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Global Benelli, Dante Richard Bustos berkata, motosikal ini disasarkan kepada penunggang muda daripada usia 18 hingga 25 tahun.

"Namun ia boleh menjadi pilihan bagi semua peringkat usia untuk kegunaan harian kerana TnT135 merupakan sebuah motosikal yang mudah dikawal serta berkuasa dan ini menjadikan ia seronok untuk ditunggang," katanya.

TnT135, model dalam segmen motosikal mini ini dikuasakan dengan enjin 135cc suntikan elektronik SOHV empat injap sejukan pelincir serta mempunyai lima kelajuan.

TnT135 mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dengan penggunaan bahan api yang efisien.

Ciri lain yang dimiliki motosikal ini ialah sistem eksoz oksigen, pensijilan Euro 4, Lampu LED penuh untuk lebih terang ketika tunggangan malam dan jelas ketika siang, serta brek cakera depan dan belakang.

Model ini didatangkan dengan dua pilihan warna dan grafik yang menarik iaitu merah dan putih dengan harga jualan asas tidak termasuk GST, RM7,990.

Ia akan mula berada di pasaran menerusi semua pengedar bertauliah Benelli di seluruh negara bermula, Rabu.