Berita  | Drebar

Juga di dalam sasaran Donald Trump sekarang: Ford

Calon presiden Amerika Syarikat daripada parti Republikan, Donald Trump, mungkin adalah patriot yang paling ‘ketat’; tidak cukup dengan cadangan mengharamkan orang Islam untuk memasuki Amerika, beliau turut mengulang rancangan untuk mendenda Ford kerana membuat kilang enjin dan kotak gear baharu di Mexico.

Ketika mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat bulan Jun 2015, Trump di dalam ucapannya menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Ford kerana membina sebuah kilang bernilai USD2.5 bilion di Mexico yang bakal mewujudkan sehingga 3,800 peluang pekerjaan.

Denda kepada Ford yang dimaksudkan Trump adalah cukai tarif setinggi 35% kepada setiap satu kenderaan Ford yang diimport masuk daripada negara jiran tersebut. Beliau bagaikan sudah lupa berkenaan perjanjian NAFTA yang sudah hampir menjadikan semua import bebas daripada tarif.
Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini hartawan tersebut berjanji untuk menaikkan tarif itu sebanyak 5% lagi, menjadikannya 40% jika CEO Ford, Mark Fields (gambar bawah) tidak bekerjasama.

Pemikiran Trump ini memang unik, kan?

Apa-apapun, semakin banyak pengeluar yang hendak meningkatkan kemampuan kilang/mengurangkan kos atau membina kilang kereta khusus untuk pasaran Amerika Syarikat memilih Mexico sebagai tapak pengeluaran. Pengecualian tarif NAFTA bagi industri automobil diantara pasaran-pasaran Amerika Utara (Kanada, AS dan Mexico) sudah lengkap.

Dengan kos sumber manusia lebih rendah (yang juga semakin terpelajar dan cekap) dan polisi perdagangan lebih menarik, Mexico semakin menjadi pilihan pelabur automotif. Audi juga termasuk di dalam senarai ini, di mana mereka telah membatalkan rancangan untuk membina kilang di Chattanooga, Tennessee, Amerika Syarikat dan memindahkannya ke San Jose Chiapa, Mexico.

Kilang ini akan menjadi tumpuan utama pemasangan Audi Q5 baharu bagi pasaran global yang akan diperkenalkan pada 2016.

Kemajuan Mexico di dalam menarik minat syarikat kereta melonjakkan negara ini ke tangga ke-7 di dalam senarai negara pengeluar kereta dengan jumlah paling tinggi. Mexico juga adalah pengeksport automobil ke-4 terbesar dunia. Toyota dan Volkswagen juga antara yang telah meningkatkan pelaburan sedia ada dengan kadar pelaburan bernilai berbilion dollar US.

Boleh tahan juga, memandangkan negara ini tidak mempunyai syarikat kereta nasional tersendiri selain Mastretta (yang beroperasi pada skala kecil) dan DINA (sebuah syarikat kenderaan komersil). Jumlah keseluruhan pengeluaran industri adalah hampir 4.6 juta unit pada tahun 2014 (kereta dan komersil).

Mengikut maklumat yang kami ada, industri automotif di Mexico telah medapat pelaburan berjumlah USD34.65 bilion (sekitar RM149 bilion) antara tahun-tahun 2000 dan 2014.

Tag: Ford, Trump, Mexico,