Tutup

Berita  | Drebar

Hyundai keluarkan imej-imej rasmi pertama Ioniq

Licik dan nakal, sambil kita melaporkan tentang lakaran awal bagi model ultra-cekap Hyundai Ioniq semalam, rupan-rupanya mereka telah menunjukkan kereta yang telah siap tersebut kepada media tempatan di pusat penyelidikan Namyang, Korea Selatan. Walaupun begitu, hanya gambar belakang kenderaan dan kabin Ioniq sahaja yang diberikan kepada media antarabangsa buat masa ini.

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, Hyundai Ioniq ini terletak di atas sebuah platform baharu yang direka khusus bagi membawa sistem pacuan ultra-rendah pencemaran ekzos. Mengikut Rag Jung, ketua bahagian pengurusan projek di pusat R&D ini, “Ioniq merangkumi cara pemikiran baharu dan cita-cita tinggi Hyundai Motor untuk masa hadapan.”

Platform yang dimaksudkan menggunakan keluli kekuatan tinggi termaju sebanyak 53% yang digabungkan dengan aluminium. Secara keseluruhan, Ioniq ini 45% lebih ringan (ataupun 12.6kg) dengan menggunakan alluminium bagi komponen-komponen seperti hud dan sistem gantungan.
Ketiga-tiga sistem pacuan tersebut adalah hibrid biasa, elektrik sepenuhnya, dan hibrid ‘plug-in’ petrol-elektrik. Pada acara melibatkan pihak media tempatan ini, hanya maklumat varian hibrid biasa sahaja dikongsi bersama, dan itulah juga varian pertama yang akan diperkenalkan kepada umum.

Ia menggunakan enjin GDI 1.6-liter dengan output 104hp yang dibuat khusus untuk digunakan dalam sistem hibrid. Motor elektrik magnetiknya pula menghasilkan 46hp. Mengikut Hyundai, kecekapan termal adalah setinggi 40%.
Bagi unit bateri, ia diperbuat daripada polimer ion litium yang memberi prestasi cas dan nyahcas cemerlang untuk output yang tinggi serta proses pengecasan pantas.

Kotak gear adalah jenis klac berkembar, khusus dibangunkan oleh Hyundai untuk kegunaan hibrid. Ia mempunyai kecekapan transmisi 97% bagi tindak balas dan pecutan yang cepat di samping pertukaran gear yang lancar.
Hyundai juga mengatakan bahawa selain daripada penjimatan bahan api yang tinggi, Ioniq ini turut direka untuk kepuasan memandu melalui pengendalian lincah. Ini dibantu dengan bateri yang diatur rendah serta dihadapan casis. Susunan ini memberi kemampuan mengambil selekoh yang lebih stabil dan responsif. Gandar belakang didukung oleh sepasang ‘lower arm’ jenis ‘multi-link’.