Tutup

Berita  | Drebar

Honda sekarang syarikat kereta bukan-nasional no.1 di Malaysia


Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) melaporkan jualan berjumlah 94,902 unit bagi tahun 2015, sekaligus menjadi syarikat kereta bukan-nasional dengan jumlah jualan paling  tinggi. Angka ini adalah 22% lebih baik berbanding tahun 2014 yang mencatat 77,485 unit kenderaan terjual.

Model yang paling laris bagi HMSB pada 2015 adalah Honda City yang merangkumi 40% daripada jumlah jualan keseluruhan. HR-V pula adalah yang kedua terlaris (21%) manakala Jazz di tempat ketiga (18%). Ketiga-tiga model ini juga berjaya menerajui kedudukan teratas bagi segmen masing-masing.

“Kami memulakan 2015 dengan sasaran jualan sebanyak 85,000 unit. Kami mengatasi objektif ini dengan sebanyak 12%  walaupun dengan keadaan pasaran yang sukar pada tahun lepas. Pada bulan Disember, Honda Malaysia turut mencatat jualan bulanan paling tinggi di dalam sejarahnya berdasarkan 10,741 unit terjual,” kata Yoichiro Ueno, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif HMSB.

Pencapaian terbaharu ini adalah peningkatan daripada 2014 apabila Honda Malaysia meneraju jualan bagi segmen kereta jenama bukan-nasional.
Matlamat syarikat sekarang adalah untuk terus memperkenalkan model-model yang menarik ke dalam pasaran tempatan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di kesemua 87 bilik pameran di serata Malaysia.



Tag: Honda, HMSB, City, Jazz,