Tutup

Berita  | Drebar

Honda Odyssey Hybrid mula dijual di Jepun


Honda Motor hari ini memaklumkan bahawa MPV model Odyssey di dalam versi hibrid akan mula dijual di Jepun bermula esok. Varian Odyssey dengan spesifikasi tinggi yang dipanggil Absolute juga akan boleh dibeli dengan teknologi hibrid, di samping diberikan sedikit tambah baik.

Odyssey Hybrid ini pertama kali dilihat di pameran kereta Tokyo 2015, namun maklumat teperinci mengenai varian ini tidak diberikan.

Sekarang kami tahu bahawa Odyssey Hybrid dan Odyssey Hybrid Absolute baharu ini adalah model minivan pertama Honda yang dilengkapi teknologi Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive) yang dikatakan mampu mencapai kadar penggunaan petrol serendah 26.0 km/liter (mengikut standard mod JC08 yang digunakan di Jepun). Ini bersamaam dengan 3.8 liter/100km.

Versi petrol pula datang dengan perubahan kecil seperti tempat rehat tangan lebih besar di tempat duduk pemandu dan penyaman udara dengan teknologi PlasmaCluster.
Kembali kepada model hibrid, Sport Hybrid i-MMD ini terdiri daripada enjin 4-silinder, 1,993cc DOHC i-VTEC yang menjana 141hp (di crankshaft) dan 165Nm. Ini adalah enjin sama yang digunakan di dalam Accord Hybrid pasaran Amerika Syarikat. Motor elektriknya pula menambah kepada output keseluruhan dengan 166hp dan 306Nm tersendiri. Kotak gear adalah jenis CVT.

Bateri lithium-ion yang digunakan varian hibrid ditempatkan di bawah lantai kerusi barisan kedua untuk mengekalkan ruang dalam kabin yang besar serta kualiti pengendalian lebih baik.

Di Jepun, Odyssey dan Odyssey Absolute boleh dipilih antara pacuan roda hadapan ataupun 4WD, manakala model Hybrid pula hanya terhad kepada pacuan roda hadapan. Konfigurasi tempat duduk pula adalah pilihan antara tujuh atau lapan penumpang.

Honda Odyssey petrol 2016 ini dijual dengan harga permulaan (beserta cukai) 2,892,840 Yen (sekitar RM101,937), manakala model Hybrid pula dijual dengan harga bermula 3,646,600 Yen (sekitar RM128,559).