Berita  | Drebar

Geneva: Ford lancarkan Fiesta ST200; 197hp &290Nm


Hari ini Ford mempersembahkan Fiesta ST200 baharu, yang paling berkuasa bagi model ini dengan 197hp (atau 200ps, seperti yang diceritakan nama kereta ini) serta tork sebanyak 290Nm yang dijana daripada enjin EcoBoost petrol 1.6-liter.

Output ini adalah 10% lebih kuasa kuda dan 20% tambahan tork berbanding Fiesta ST asal. Selain itu, terdapat tambahan 15hp dan 30Nm bagi tempoh 15 saat (menjadikan jumlah output 212hp dan 320Nm) melalui ciri ‘transcient overboost’.
Ford Fiesta ST200 ini boleh memecut daripada rehat ke 100km/j dalam masa 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230km/j. Selain daripada kuasa enjin yang tinggi, prestasi ini dibantu oleh nisbah ‘final drive’ 4.06 yang lebih pendek berbanding 3.82 terdahulu.

Kelincahan kereta ini dibantu oleh sistem-sistem tambahan seperti kawalan ‘Enhanced Torque Vectoring’ bersama ESC, komponen stereng yang direka khusus, dan ‘torsion beam’ dengan kekuatan tambahan.

Selain itu, stereng juga mempunyai tindak balas lebih pantas; spring dan penyerap hentak hadapan diubah untuk memberi titik graviti lebih rendah sebanyak 15mm, dan sistem brek dipertingkatkan melalui cakera belakang serta silinder utama yang lebih besar.

Dari segi rekaan ST200 ini hanya dibekalkan di dalam warna kelabu (Storm Grey); selain aloi 17 inci berwarna hitam ‘matt’, angkup brek warna merah termasuk kerusi hadapan Recaro separa kulit dengan jahitan kontra berwarna perak.

Pengeluaran Ford Fiesta ST200 ini akan bermula pada bulan Jun sebelum penghantaran bermula pada musim panas nanti.