Berita  | Drebar

Ferrari GTC4Lusso – 680hp, 696Nm untuk semua tayar


Ferrari telah memperkenalkan model GTC4Lusso baharu, sebuah grand tourer dengan kapasiti tempat duduk bagi empat orang, serta sebuah enjin V12 di bawah bonet depan. Jika ini bagaikan sebuah Ferrari FF, sebenarnya anda tidak salah. Atas sebab-sebab yang kami sendiri pun tak dapat nak fahamkan, GTC4 Lusso sebenarnya adalah ‘facelift’ bagi model FF.

Namanya yang agak rumit itu diterangkan oleh Ferrari sendiri sebagai merujuk kepada model-model terdahulu termasuk 330 GTC, 330 GT dan 250 GT Berlinetta Lusso. Nombor ‘4’ pula menandakan jumlah penumpang (termasuk pemandu) yang boleh dibawa.

Sebenarnya, angka tersebut juga boleh merujuk kepada pacuan empat roda yang digunakan, pertama kali digunakan Ferrari sejak diperkenalkan pada model FF asal. Sistem yang dinamakan 4RM-S ini dipertingkatkan dengan ‘rear wheel steering’ bagi memberi kelincahan tambahan.

Enjin 6.2-liter V12 yang sebelum ini menghasilkan 652hp sekarang melonjak ke 680hp, manakala jumlah tork sekarang pula adalah 696Nm. Pada model FF, tork berjumlah 683Nm.
Dengan itu, pecutan 0-100kmj dapat dibuat dalam masa 3.4 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas daripada FF. Pencapaian dibuat dengan bantuan kotak gear klac berkembar 7-kelajuan.

Dari segi rekaan, GTC4Lusso menampakkan lampu hadapan yang lebih mirip kepada komponen sama di 488 GTB. Lampu belakang pula sengaja dibuat agar menyerupai model-model silam yang kekal diminati.

Selain itu, gril hadapan adalah baharu, begitu juga dengan keratan ventilasi di fender sisi yang kelihatan begitu ganas. Spoiler dan diffuser belakang juga mendapat perubahan; semuanya dikatakan membantu mengurangkan daya seretan aerodinamik.

Papan pemuka GTC4Lusso menampilkan sistem infotainmen terkini yang merangkumi sebuah skrin sentuh bersaiz 10.25 inci. Saiz stereng turut berkurang hasil daripada penggunaan beg udara lebih kecil.

Harga bagi Ferrari GTC4Lusso barangkali akan diumumkan di pameran kereta Geneva, di mana kereta ini akan dipertontonkan kepada orang ramai buat pertama kali. Tetapi jika model FF diambil kira sebagai tanda aras, ia pastinya tidak akan kurang daripada RM2.8 juta iaitu harga permulaan FF yang dijual Naza Italia.

Tag: Ferrari, GTC4Lusso, FF,