Tutup

Berita  | Drebar

Dipersembahkan: Faraday Future FFZero1


Akhirnya Faraday Future mendedahkan kereta konsep pertama mereka yang diberi nama FFZero1. Selain rekaannya yang cukup futuristik, apa yang menarik adalah ‘produk’ pertama daripada syarikat yang baharu ditubuhkan ini adalah sebuah konsep; dan ia hampir pasti tidak mempunyai perkaitan dengan produk yang dijadualkan untuk pengeluaran besar-besaran.

Anggapan mereka mungkin untuk menarik minat orang awam kepada jenama FF (Faraday Future), agar suatu hari nanti kereta pengeluarannya akan lebih mudah diterima. Ataupun agar dapat berkongsi falsafah moden mereka tentang keperluan mobiliti di dalam dunia yang sudah jauh maju kehadapan berbanding ketika era pemotoran bermula lebih kurang 100 tahun dahulu.

Sebenarnya, FFZero1 mampu menyediakan itu semua. Konsep ini dibina atas platform khusus mereka yang dikenali sebagai VPA ataupun Variable Platform Architecture (Senibina Platform Boleh ubah). Ia dibuat khusus untuk optimakan keperluan sebuah kenderaan elektrik (EV). Platform VPA ini juga akan menjadi asas kepada semua model pengeluaran FF pada masa hadapan.

[Konsep modular VPA ini membolehkan pelbagai konfigurasi sistem pacuan tidak kira satu atau tiga motor. Konsep ini juga boleh menyediakan pacuan roda belakang ataupun semua roda]
Proses pembangunan FFZero1 ini memberi banyak tumpuan kepada rekaan yang mementingkan keperluan pengguna. Dengan itu konsep FFZero1 mempunyai ‘deria keenam’ yang menawarkan personalisasi adaptif.

Stereng bagai dilengkapkan dengan telefon pintar yang menjadi lambang kepada penggabungan teknologi dan kejuruteraan automotif.

Konsep ini boleh berfungsi secara autonomous, sehinggakan boleh mengelilingi sebuah litar lumba dengan sendiri; kemudian membandingkan masanya dengan pencapaian seorang pemandu manusia. Malah, ia boleh memberi petunjuk kepada pemandu tersebut.

Kuasa pacuan bagi konsep FFZero1 datang daripada empat motor. Jika ia dibuat untuk pengeluaran terhad, kuasa output boleh pergi setinggi 1,000hp serta mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang tiga saat. Kelajuan maksima pula dijangka pada 322km/j.
Agak menarik untuk mengetahui yang konsep FFZero1 termasuk dengan rekaan helmet prototaip yang bukan sahaja membekalkan oksigen, bekalan air dan sokongan tengkuk, tetapi juga mengumpul maklumat biometrik pemakai.