Tutup

Berita  | Drebar

Dari Detroit: Lexus LC 500. Peralihan tepat dari konsep ke realiti


Pada bulan Oktober tahun lepas kami ada laporakan mengenai konsep Lexus LF-LC; ia kelihatan begitu hebat dengan profil ala coupe yang gagah, lampu belakang yang rumit dan gril hadapan yang begitu menonjol. Tapi sebagai sebuah konsep, itu perkara biasa. Dalam hati, kami berkata yang “itu semua tidak akan sampai ke model peringkat pengeluaran.” (Baca laporan asal kami di sini, dan galeri di sini)

Di Detroit semalam, Lexus telah mengumumkan bahawa model LF-LC ini akan menjadi kenyataan dan mula muncul pada tahun 2017 – dengan nama LC 500. Walaupun kelihatan seperti sebuah kereta sport, ia akan dijenamakan sebagai sebuah ‘grand tourer’ atau ‘cruiser’ yang lebih sesuai untuk pemanduan jarak jauh yang selesa dan pantas.

Enjin

Bagi membekalkan faktor ‘pantas’ tersebut, sebuah enjin 5-liter V8 yang menghasilkan 467hp dan tork sebanyak 527Nm. Kuasa ini akan disampaikan kepada kedua-dua roda belakang melalui kotak gear automatik 10-kelajuan. Pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam masa kurang daripada 4.5 saat

(Klik untuk galeri penuh)

Casis
LC 500 ini menggunakan platform serba baharu khas dibuat untuk model-model paling mewah Lexus yang turut dipacu roda belakang. Antara langkah-langkah khusus bagi mempertingkatkan pengendalian adalah memuatkan enjin dan penumpang-penumpang ke lokasi paling tengah (dan rendah) yang boleh.

Bateri 12-volt juga diletakkan di belakang manakala tayar-tayar 21 inci-nya adalah jenis ‘run-flat’ agar tayar gantian tidak perlu menambahkan berat kereta. Bumbung standardnya adalah sepenuhnya gelas, tetapi pengurangan berat boleh lagi ditingkatkan dengan bumbung gentian karbon sebagai pilihan.

Kabin

Lexus mengambil usaha untuk memastikan kemewahan yang hendak disampaikan seiring dengan dinamik serta prestasi yang hendak disampaikan. Penukar gear ‘paddle shifter’ di stereng pun dibuat daripada aloi magnesium, manakala semua kemasan boleh dibalut dengan Alcantara dan kulit berkualiti tinggi. LC 500 baharu ini mempunyai kapasiti empat penumpang.
Harga
Lexus belum lagi memberi anggaran mengenai harga jualan model ini tetapi memandangkan ia akan diangkat sebagai sebuah model ‘flagship’, memang munasabah jika ia dijual pada harga yang menyamai, atau melebihi, model LS sedia ada.

(Klik untuk galeri penuh)



Tag: Lexus, LC 500,