Berita  |  Drebar

BMW lancarkan 530i M Sport terbaharu di Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia telah melancarkan BMW 530i M Sport terbaharu, generasi ketujuh dalam keluarga BMW 5 Series.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Han Sang Yun berkata kereta sedan BMW 5 Series itu telah mencipta legasi yang terulung dalam segmen automotif premium dengan prestasi yang tidak tertanding, keanggunan serta kejuruteraan dan inovasi yang amat sofistikated.
"BMW 5 Series ini sudah pun menggondol anugerah terbaik, baru-baru ini ia memenangi Anugerah Emas iF 2017, pengiktirafan tertinggi untuk reka bentuknya.

"Sekarang ini ia berada dalam saringan terakhir bagi Anugerah Kereta Mewah Dunia Terbaik 2017," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BMW 530i M Sport meletakkan keghairahan untuk dinamisme sebagai keutamaan.

Ia dipasang dengan roda aloi ringan 19-inci dalam gaya jejari berkembar, angkup brek M Sport berwarna biru dengan logo "M" termasuk komponen aerodinamik "M" yang dicat dengan warna badan kereta, apron depan dan belakang serta pelindung sil.

BMW 530i M Sport dijual pada harga RM398,800 (di atas jalan dan tanpa insurans) dan dilengkapi dengan waranti perbatuan tanpa had selama lima tahun dengan pakej servis percuma termasuk jaminan tayar dua tahun. -- Bernama